November 27, 2022

Yakin Pertaruh Bakat

KUALA LUMPUR: Bagi tiga artis baharu Aci Aci Buka Pintu (AABP) Music ini, mereka yakin dan bersedia bertempur di medan industri hiburan negara berbekalkan bakat yang ada.

Biarpun akur bukan laluan yang mudah, Qiem Churros, Aida Bahaman dan Farhan Maarob gigih mencari koordinat kukuh bergelar penyanyi di negara ini.

Qiem yang popular di aplikasi TikTok berkata, dia tahu bukan mudah untuk mencari peluang namun akan berusaha sebaik mungkin.

 

“Bagi saya semuanya memerlukan usaha dan saya pertaruhkan bakat sedia ada untuk mencuba bidang ini.

“Saya juga sedar perlu rajin dan mencari peluang supaya lebih dikenali dan syukur mendapat sambutan baik di TikTok,” katanya.

Singlenya berjudul Mengundang Pelangi juga semakin mendapat perhatian dan serta mula dimainkan di beberapa stesen.

Mengenai saiz tubuhnya yang besar, anak kelahiran Terengganu yang pernah menyertai rancangan Vokal Mania ini tidak menganggap ia sebagai halangan.

Baginya, yang penting dia sihat dan mampu memeriahkan arena seni suara dan mendapat sokongan peminat.

Aida Bahaman juga senada dengan Qiem yang percaya pada bakat nyanyian yang dimilikinya.

Dia mengakui mewarisi bakat muzik dari ibu bapa dan keluarganya berkata, selain bakat perlu ada keberanian untuk mencuba.

Terbaharu, Aida tampil dengan single berjudul Dia yang sudah boleh didengari di semua platform muzik beserta dengan video muziknya.

“Saya bersyukur akhirnya lagu dan video muzik ini dapat dilancarkan setelah tertangguh akibat pandemik Covid-19.

“Saya berharap terus diterima dan mendapat sokongan semua pihak untuk bergelar penyanyi,” katanya.

Bagi penyanyi Farhan Maarob pula, dia baru menandatangani kontrak dengan pihak AABP Music dan masih lagi di dalam proses penyediaan lagu dan rangka promosi yang bakal dibuat tidak lama lagi.

“Kalau ikutkan saya sudah lama mencuba nasib cuma belum ada rezeki. Kali ini saya berharap akan lebih dikenali,” katanya yang pernah muncul dengan single Sorry Naik Lori.

Kesemua mereka ditemui pada satu majlis kesyukuran anjuran AABP Music di Restoran Rebung baru-baru ini. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts