November 6, 2024

Yakin Diri, Kelly Azman Lancar Lagu Raya

KUALA LUMPUR: Biar apa jua pandangan terhadap dirinya, Kelly Azman yakin bakat nyanyiannya dan memilih untuk muncul dengan single terbaharu berjudul Nikmat Di Hari Raya, duet bersama Ismaliza Ismail (Isma AF7).

Nikmat Di Hari Raya merupakan single ketiga Kelly selepas Kepulangan Di Hari Raya (2010) dan No No No (2017).

“Single ini merupakan ciptaan S. Atan dan liriknya pula nukilan Tanty dan Miss Darna. Sepatutnya lagu ini dikeluarkan pada tahun lalu tetapi atas kekangan pandemik, lagu ini dapat direalisasikan pada tahun ini.

“Untuk single kali ini kami bekerjasama dengan Sony Music. Alhamdulillah, lagu ini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital pada 15 April dan jika tiada aral melintang, ia bakal berada di saluran YouTube Sony Music Malaysia pada 30 April ini.

“Lagu ini mengisahkan mengenai nikmat untuk kembali meraikan lebaran bersama keluarga dan teman tersayang pada tahun ini selepas dua tahun tidak bersama kerana Covid-19. Saya berharap lagu ini dapat sambutan yang baik, Insya-Allah,” katanya.

Biarpun sering menerima kritikan netizen yang menganggap dirinya tidak layak bergelar penyanyi, juri program All Together Now Malaysia ini mempunyai pendirian tersendiri.

“Saya rasa saya layak menjadi seorang penyanyi kerana saya mempunyai tone suara yang sedap dan mempunyai bakat tersendiri dalam bidang muzik. Saya yakin dengan bakat dan suara yang diberikan oleh Allah untuk saya menghiburkan peminat.

“Insya-Allah, selepas ini saya bakal muncul dengan single balada dan saya juga sedang dalam perancangan untuk berkolaborasi bersama trio BBNU. Saya teruja kerana lagu itu dicipta oleh komposer prolifik, Sharon Paul. Doakan segalanya dipermudahkan,” katanya. –GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts