December 8, 2024

AJL35: Hanya Enam Orang Satu Pentas

SHAH ALAM: Hanya enam orang bagi setiap finalis, dibenarkan untuk membuat persembahan di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke- 35 (AJL35) yang bakal berlangsung pada Ahad ini.

Penerbit Eksekutif AJL35 Nurul Huda Khalid berkata, finalis kali ini perlu menggunakan kreativiti masing-masing bagi membuat persembahan tanpa bergantung dengan elemen penari latar atau pelakon tambahan seperti sebelum ini.

“Kita hanya benarkan enam orang sahaja pada setiap persembahan finalis malam AJL35 nanti mengikut SOP ekoran pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

“Kami seboleh mungkin mengehadkan bilangan orang yang terbabit dalam persembahan bagi menjaga jarak selamat,” katanya ketika dihubungi Gayah di sini hari ini.

Orang kuat AJL itu berkata, persembahan malam final pastinya dinantikan peminat industri muzik tempatan selepas acara berprestij itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

Nurul Huda berkata itulah yang menjadi tarikan untuk edisi AJL kali ini iaitu apabila orang ramai ternanti-nantikan persembahan yang tertangguh.

“Saya yakin ramai yang akan teruja untuk menantikan apakah persembahan yang bakal ditampilkan oleh barisan finalis kali ini dalam suasana yang berbeza berbanding edisi sebelum ini.

“Meskipun kali ini dalam kapasiti yang lebih kecil dan tanpa kehadiran penoton, kami akan berusaha memberikan yang terbaik kepada semua penonton dan pengikut setia AJL selama ini,” katanya.

AJL35 akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam di sini berbanding di Axiata Arena seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Nurul Huda turut bersyukur kerana semua finalis, penari dan pemuzik prihatin dan peka dengan isu semasa.

“Sejak PKP dilaksanakan pada 13 Januari lalu dan AJL35 terpaksa ditunda, mereka tidak pernah merungut kepada kami.

AJL35 dihoskan Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari sepatutnya berlangsung pada 7 Februari lalu di Auditorium MBSA, Shah Alam, sebelum pengumuman penundaan disebabkan tempoh PKP yang dilanjutkan.

Selain 12 lagu bertanding, AJL35 turut menampilkan persembahan daripada Ella, Naim Daniel, Yonnyboii, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Tuju K-Clique, Hujan, Hazama & The Penglipur Lara, Akim & The Majistret, Misha Omar, Dayang  Nurfaizah dan Ziana Zain.

Finalis AJL35

  • Hati – Hael Husaini (Hael Husaini & Ezra Kong)
  • 7 Nasihat – Shiha Zikir, Kmy Kmo & Luca Sickta (Kmy Kmo & Luca Sickta)
  • Belenggu Rindu – Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah (Hael Husaini & Ezra Kong)
  • Semalam – Aina Abdul (Aina Abdul)
  • Peluang Kedua – Hael Husaini (Hael Husaini & Mfmf.)
  • Hutang – Floor 88 (Zai Hamzah / Achoi Floor 88)
  • Kau Sakiti – Amir Masdi (Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong, Romeo & Mage)
  • Gundah – Ernie Zakri (Ernie Zakri & Sharon Paul)
  • Aku Bidadari Syurgamu – Aishah (Ippo Hafiz / Siti Rosmizah)
  • Gila – Kaka Azraff, Noki & Tuju (Noki, Loca B & Ezra Kong)
  • Jangan Khianati Aku – Azlan & The Typewriter (Dark)
  • Eh – Zizi Kirana (Navigator & Zizi Kirana / Mambang & Zizi Kirana)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts