November 12, 2024

NTN: Bual Bicara Premium

KUALA LUMPUR : Next To Neelofa (NTN) akhirnya menjadi judul pilihan bagi bual bicara premium di saluran Astro selepas puluhan cadangan dibuat termasuk oleh Neelofa sendiri.

Figura yang sudah berada pada kelasnya tersendiri itu berkata, beliau teruja selain berdebar untuk memulakan fasa baharu bidang pengacaraan yang diceburinya.

“Ada pelbagai rasa dan saya akui beberapa kali minta Astro tangguhkan penggambaran program ini. Alhamdulillah semuanya kini berjalan dengan lancar.

“Jujurnya ini impian saya sejak tiga tahun lalu. Saya memang terlibat sepenuhnya bagi memastikan NTN mengikut aturan yang saya gambarkan,” katanya dalam sesi khas bersama Media baru-baru ini.

Neelofa berkongsi, kalau diikutkan beberapa nama besar antarabangsa juga dalam senarai sebagai tetamunya, namun penularan COVID-19 membantutkan hasrat itu.

Kongsi bintang tersohor ini, NTN lain kerana ia adalah program biacara secara spontan dan tidak memerlukan sesi pembukaan atau pengenalan seperti lazimnya.

“Cabaran utama saya ialah menggali dan memujuk tetamu yang semuanya A Lists agar membuka mulut serta berkongsi pertanyaan yang diajukan.

“Pertanyaan itu pula bukan dirancang kerana ada ketika ia datang kala kami memulakan sesi bersembang,” katanya.

Tambah Neelofa, pihaknya juga ada perancangan untuk menjemput pemimpin tertinggi negara sebagai tetamu.

“Kita memang mahu berikan yang terbaik dan lain dari biasa. Meskipun memerlukan perancangan dan melibatkan protokol kami cuba sedaya mungkin,” katanya.

Setakat episod yang sudah dirakamkan daripada 12 episod keseluruhan, Neelofa berkata antara yang meninggalkan kesan ialah perkongsian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Memang sebak dan sangat bermakna dan kalau nak tahu kena nantikan episod ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Kamal, pemilihan Neelofa untuk menjayakan program eksklusif ini kerana pengalamannya sebagai seorang anak seni selain merupakan selebriti yang versatil.

“Pengalaman Neelofa sebagai anak seni dan latar belakang kehidupan beliau yang penuh warna warni pastinya akan menyuntik pelbagai elemen menarik dalam program ini.

“Selain popularitinya yang mampu menarik tontonan pelbagai lapisan masyarakat, program ini turut menjadi platform untuk mendekatkan lagi golongan VIP berpengaruh tanah air yang sering menjadi ikutan dan rujukan masyarakat di luar sana,” katanya.

Next To Neelofa telah pun memulakan siaran episod pertama secara eksklusif dengan tetamu undangan, Datuk Hans Isaac.

Selain Hans, antara barisan VIP yang telah diundang khas untuk menjayakan penerbitan musim pertama termasuklah Datuk Rizalman Ibrahim, Puan Sri Tiara Jacquelina, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Chryseis Tan dan Ella Aminuddin.

NTN bersiaran setiap hari Khamis, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria HD (saluran 104) dan Astro Ria (saluran 124).

Gayah setuju dengan konsep dan pemilihan Neelofa bintang paling signifikan dan legit jika mahu diukur dari sudut kejayaan seni dan perniagaan.

Neelofa masyhur dalam arena jenama antarabangsa dan sering menerima undangan serta mempunyai resume cemerlang dalam bidang pendidikan.

Geng Gayah pula sentiasa Next To Gayah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts