November 27, 2022

Azharina Nyanyi Sambil Terbang!

Sempena 18 tahun dalam bidang muzik, Azharina Azhar bakal muncul dalam konsert berskala besar buat julung kalinya pada 29 Jun ini di Teater Shah Alam.

Konsert yang dinamakan Queen of Soul itu bakal membawa penonton menikmati gemersik vokal Azharina yang memang memukau dan diakui sebagai antara penyanyi terbaik negara.

“Saya gembira dan gentar pada masa yang sama. Saya risau adakah yang mahu menonton persembahan saya.

“Syukur sebelum ini juga dimaklumkan 200 tiket sudah dijual dan perkembangan sangat baik. Saya harap bertemu semua peminat tersayang nanti,” katanya.

Mempunyai rangkaian lagu berhantu seperti Seandainya, Elegi Sepi, Rawan, Sekian Terima Kasih, Cinta Terbagi Dua, Lakar Janji, Azharina memberitahu dia juga bakal membawakan lagu-lagu Bahasa Inggeris yang sesuai dengan vokalnya.

Azharina sebelum ini pernah menggegarkan Hard Rock KL menerusi lagu Proud Mary pada siri persembahan dua tahun lalu.

“Saya bakal diiringi pemuzik orkestra dan menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular saya serta beberapa lagu lain. Saya bakal menyampaikan 14 lagu secara solo dan satu lagu duet bersama penyanyi jemputan,” katanya.

Mengenai kelebihan dan kelainan yang akan ditonjolkan, Azharina mengakui akan cuba terbang pada konsert itu nanti selain mengundang seorang penyanyi dari negara jiran.

Menurut Pengarah Urusan penganjur konsert, Syahrizal Ismail, Konsert Azharina Queen of Soul bakal berlangsung selama satu hari sahaja.

Syahrizal paling kanan.

“Untuk menjadikan konsert ini sebagai satu acara yang eksklusif, kita tidak mempunyai perancangan nak menambah bilangan hari untuk konsert ini.

“Pada masa yang sama, kami mempunyai perancangan untuk membawa konsert ini ke beberapa lokasi lain dalam negara memandangkan Azharina mempunyai peminat yang ramai. Insya-Allah, tahun ini akan ada satu lagi konsert sama di lokasi berbeza,” kata Syahrizal.

Konsert ini mendapat sokongan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT selain bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, FUFC The Fighters dan Pemadam Negeri Selangor.

Tiket sudah mula dijual di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C). Gayah memang pasti akan pergi, jumpa nanti ya Nyonya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts