Bukan hanya penyakit jantung dan buah pinggang tahap tiga, malah pelawak bertaraf lagenda, Ebby Yus, 55, turut menderita penyakit lain seperti kencing manis, darah tingggi, gastrik, saraf dan terbaharu, prostat apabila hatinya kian membengkak.
Sungguhpun begitu, Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid masih mahu bekerja untuk meneruskan hidup
Tidak mahu terlalu mendapat simpati ramai, pelawak yang sudah lebih 30 tahun membina populariti dalam industri seni itu pada mulanya enggan mendedahkan derita hidupnya
Kehidupannya ditimpa kesusahan selepas hampir setahun setengah tidak mampu bekerja akibat penyakit jantung dan buah pinggang bocor. Perlahan-lahan, wang simpanan licin hingga tiada sesen pun yang tinggal, selain harta dan kereta-kereta yang dimiliki terpaksa dijual untuk membiayai rawatan
Ebby berkata, pendapatannya terjejas kerana tidak mampu bekerja.
“Namun, ia bukan alasan saya harus berasa sugul dan tidak berusaha. “Selagi terdaya, saya mahu bekerja untuk menyara hidup. Saya tidak mahu dianggap suka menagih simpati.
“Alhamdulillah, berkat doa semua dan rawatan yang dijalani, saya boleh kembali bekerja. Mungkin tidak mampu bekerja kuat seperti dulu, tetapi saya sudah mula menerima tawaran beberapa projek berlakon,” katanya. Tanpa berselindung, pelakon yang handal dengan ilmu persilatan ini berkata dia berdepan dengan masalah kewangan yang teruk apabila terlantar sakit di rumah pertengahan tahun lalu.
Saya terpaksa melepaskan kereta kepada orang lain untuk menyambung bayar. Bahagian kongsi saya dalam perniagaan bersama rakan pun dilepaskan sejak setahun lalu. Saya tidak mahu meminta-minta tetapi haruskah saya menolak sumbangan yang diberikan?”
EBBY YUS

Ebby berkata, ada peminat tidak dikenali turut menyumbangkan bantuan kewangan.
“Ramai rakan-rakan pelawak datang membantu. Tetapi, saya tidak mahu mengambil kesempatan kerana saya mahu bekerja bukannya sumbangan.
“Sampai bila saya mahu bergantung hidup dengan sumbangan orang? Kalau boleh berikanlah saya kerja ringan seperti rakaman dalam studio atau menjadi pengacara majlis,” katanya.
Terbaharu, Ebby terharu apabila ada seorang peminat lelaki mahu mendermakan buah pinggang buatnya.
“Saya mahu berjumpanya terlebih dulu dan masih belum membuat keputusan.
“Saya tidak sangka ada peminat sanggup berkorban untuk saya. Ia pengorbanan besar kerana saya tidak mengenalinya.
“Tertanya-tanya dalam hati, apakah kebaikan saya lakukan hingga ada peminat yang sanggup mendermakan organnya kepada saya?,” katanya
Ebby berkata bukan dirinya menolak, tetapi tidak sampai hati.
“Saya tidak sampai hati mengambil buah pinggang orang lain. Saya mahu berusaha dengan rawatan yang dilakukan dulu.
“Bagaimanapun, hasrat murni peminat berkenaan tetap saya hargai dan tidak lupakan,” katanya yang kini sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah atas pembiayaian seorang rakan baiknya.
You may also like
-
Aina Abdul : Bukit Bintang Done, Bukit Jalil Next!
-
Konsert Milenia Ditunda Ke 25 November, Tampil Persiapan Lebih Meriah
-
Kongsi Kemesraan Dengan Suami Bawa Tuah Pada Fasha Sandha
-
Liza Hanim Sedia Bersaing – Ziana Zain Iktiraf Liza Bak Berlian
-
Kesemua Pelakon Walid Boleh Bersilat – Filem Angkat Seni Mempertahan Diri Melayu