Orang kuat Makar Fest anjuran bersama Red Bean Productions & Agency dan Sunburst KL, Issey Fazlisham melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada semua atas kejayaan menarik kira-kira 300,000 pengunjung pada Makar Fest 2.0.
Dia berkata jumlah berkenaan merangkumi tiga hari penganjuran karnival gaya hidup dan makanan berlangsung pada 1 hingga 3 Mei lalu di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu.
Katanya, antara faktor termasuklah aura Ustaz Azhar Idrus yang memeriahkan karnival pada malam pertama dalam sesi Dialog Anak Muda.
“Saya terharu dan berterima kasih, sebenarnya tidak sangka sambutan luar biasa sejak hari pertama, terima kasih kepada semua warga Terengganu yang menyambut baik kehadiran kami.
“Saya juga perlu berterima kasih kepada Ustaz Azhar Idrus, Datuk Awie, Kerajaan Negeri Terengganu dan semua artis serta selebriti yang hadir.
“Begitu juga pasukan saya, rakan penaja, vendor dan semua yang terlibat menjayakan dan menyokong Makar Fest 2.0,” katanya.
Sementara itu, Issey berkata tidak timbul isu memilih artis, hakikatnya tujuan Makar Fest ialah mahu menghargai artis yang juga ikon muzik tanah air.
Dia berkata demikian ketika menjawab dakwaan kononnya hanya artis tertentu yang dipilih untuk membuat persembahan di karnival berkenaan.
Dia berkata, pemilihan nama besar seperti Datuk Awie pada Makar Fest 2.0 itu juga bersesuaian dengan konsep karnival berkenaan.
“Makar Fest bukan hanya karnival makanan tetapi juga gaya hidup termasuk fesyen dan hobi, jadi kami berbesar hati apabila legend seperti Datuk Awie bersetuju tampil membuat persembahan.
“Seperti yang kita ketahui beliau juga mempunyai hobi menunggang motosikal berkuasa besar selain penampilan yang sentiasa bergaya di pentas.
“Sama juga ketika Makar Fest lalu apabila kita menampilkan Sifu Datuk M. Nasir yang juga stylo selain seorang daripada ikon muzik negara kita,” katanya.
Issey menambah, bakat baharu seperti Amir Masdi juga diundang selain beberapa artis yang dibawa penaja iaitu Yaya Empire termasuk penyanyi lama Azman Kulit pada persembahan Malam Muzikal Makar.
Bercerita lanjut, penyampai radio itu juga tidak menolak untuk bekerjasama dengan penyanyi lain pada masa akan datang yang sesuai dengan permintaan khalayak serta konsep karnival.
“Kami membuka peluang kepada semua asalkan kena dengan suasana serta keadaan dan Insya-Allah Makar Fest juga bukan hanya terhad di Pantai Timur tapi kita akan bawa ke negeri lain juga,” katanya.
Pada Malam Muzikal Makar Awie menyampaikan lebih empat buah lagu termasuk Sejati, Sayap Ilusi dan Di Penjara Janji.
Mengenai lokasi Makar Fest seterusnya, Issey berkata perkara itu akan diputuskan kemudian dan pengumuman dibuat di media sosial karnival itu. – GayahIsTyping
You may also like
-
Jelajah Rockology 2025 – Gabungan Awie & Search KidDin
-
Perkenal Tiga Anugerah Baharu – KamiSempoi Golden Award 2024 Tambah Kategori
-
Sufian Suhaimi Sah Bernikah – Bergelar Suami Kepada Rania AL Sadat
-
Gandingan Tiga Vokal Hebat – Datin Alyah, Ayu Dan Idayu Janji Kenangan Terindah
-
Finalis Mentor Millenia – Rika Riana Muncul Single Harus Begini Jadinya