January 19, 2025

Janji Hadiah 25 Tahun Dayang Nurfaizah – Turut Dedikasi Buat Iman Imran

Bukan mudah menyiapkan buah tangan meraikan usia 25 tahun kerjaya seni penyanyi pada kelas tersendiri ini, lebih-lebih lagi dalam memastikan lagu sesuai dengan selera semua peminatnya.

Akui Dayang Nurfaizah, dia mahu semua peringkat dan kelompok penggemarnya menggemari album terbaharu yang dihasilkan temasuk dalam bentuk fizikal yang dilancarkan baru-baru ini.

“Saya mahu pastikan semua peminat happy dan gembira dengan lagu dalam album ini serta mahu identiti Dayang Nurfaizah itu kekal dan dapat dirasai,” katanya pada sesi santai dan dengar album itu bersama media.

Bercerita lanjut album studio ke-11 berjudul Janji itu sebagai simbolik pengisytiharan kuat terhadap komitmen Dayang kepada peminat dan dirinya sendiri untuk tidak pernah menyerah dalam perjalanan seni dan terus menyajikan muzik terbaik.

Penghasilan album ini juga menjadi bukti dedikasi dan semangat Dayang yang tiada henti terhadap seni muziknya.

“Sepatutnya album ini siap dua tahun lalu. Namun, disebabkan saya perlu siapkan projek album Belagu 2, terpaksa proses pembikinan album ini ditangguhkan.

“Saya perlu beri fokus terhadap Belagu 2 kerana penjiwaan lagu berbeza kerana berkonsepkan tradisional,” katanya.

Sementara itu, Dayang larut dalam emosi dan mengalirkan air mata kala berkongsi mengenai satu dari lagu dalam album berkenaan berjudul Mencintai Cinta lirik terakhir Allahyarham Iman Imran.

Iman atau nama sebenarnya, Rudy Imran Shamsudin yang juga bekas wartawan hiburan Harian Metro meninggal dunia akibat kanser pada 31 Mac 2022.

“Allahyarham yang berjuang melawan kanser sebelum ini kerap bertanya bila rakaman mahu dijalankan. Dia takut tak sempat. Nyata Allah lebih menyayangi arwah. Album ini saya dedikasikan untuk beliau,” katanya.

Dayang menganggap Rudy seorang sahabat yang banyak membantunya dan memberi nasihat sepanjang perkenalan mereka.

“Saya ingat dia pesan rakam lagu ini jangan tunggu dia kerana takut tak sempat,” katanya sambil menambah terpaksa mengalihkan perhatian terhadap perkara lain bagi mengelakkan dirinya beremosi ketika proses rakaman lagu terbabit berlangsung.

“Saya tak mahu pun membayangkan wajah arwah sebab tahu saya akan menangis apatah lagi sebelum ini beliau menemani saya dalam studio seperti untuk lagu Lelaki Teragung dan Di Pintu Syurga.

“Lebih menghibakan beliau menghembuskan nafas terakhir dua hari selepas kerja rakaman ditangguhkan pada 2020. Jadi, apabila masuk semula studio, saya terkenangkan arwah,” katanya.

Mencintai Cinta adalah antara 13 dendangan dimuatkan dalam album ke-11 penyanyi asal Kuching, Sarawak itu yang bakal meraikan ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industri muzik.

Album Janji yang sudah dilancarkan di semua pelantar digital mendapat sentuhan komposer baharu dan lama antaranya Ajai, Aubrey Suwito, Audi Mok, Hael Husaini, Aisha Retno, NJWA dan ramai lagi.

Dayang turut merakamkan semula lagu Hakikat Cinta hasil ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dalam album baharu.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah Esok Lusa Selamanya, Di Akhir Dunia, Tak Mahu Berpisah, Tulus, Janji, Dunia Lain, Mungkin Ke? Lemah, Aku, Akhirnya Bahagia dan Tetap Di Sini. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts