September 13, 2024

Pentas Marhaban Rancangan Realiti TV Baharu AlHijrah

KUALA LUMPUR : TV AlHijrah terus mencipta kelainan dalam kandungan stesen itu apabila memperkenalkan program realiti terbaharu Pentas Marhaban. 

Pentas Marhaban adalah rancangan hiburan realiti TV Islamik bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen.

Ketua Pegawai Eksekutif stesen itu, Namanzee Harris selaku berkata, TV AlHijrah senantiasa memposisikan kedudukannya sebagai agen penyebar dakwah yang memikul tugas fardu kifayah dalam mendidik masyarakat Malaysia khususnya.

“Baru-baru ini mengikut laporan data AC Nielson, TV AlHijrah terus memenangi hati penonton apabila berjaya melonjakkan jumlah tontonan peratusan perkongsian saluran (channel share) sehingga menduduki tangga lima teratas (top five) stesen tv terbaik di Malaysia sekaligus mengatasi saluran hiburan di negara ini.

“Peningkatan yang baik ini juga adalah petanda baik bahawa rancangan Pentas Marhaban yang akan diterbit dan disiar secara langsung ini bakal menjadi fenomena di dalam dunia penyiaran,” katanya.

Namanzee juga teruja kerana TV AlHijrah merupakan satu-satunya stesen televisyen negara yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat melayu dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul ke kaca televisyen dan seluruh medium penyiaran sebagai program realiti.

“Pentas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI, Pelan Transformasi Al-Falah, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak. Ini secara jelasnya akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dari aspek spiritual dan fizikal. 

“Pentas Marhaban akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 11 November akan datang,” katanya lagi.

Tambah beliau, Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, dan dihoskan oleh Syamsul Ghau Ghau dan Juara Akademi Qurra’ musim pertama, Tilmiz Fahmi.

Ustaz Husaini Mahmur bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban, serta diadili dua juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus.

Kongsinya, sebanyak 12 kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.

“Mereka dipilih disebabkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan yang terbaik. Suka saya kongsikan, kesemua kumpulan ini akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton dengan Rabbul Jalil. 

“Dua belas kumpulan tersebut adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee,” katanya.

Maklumat lanjut serta perkembangan terkini rancangan Pentas Marhaban boleh didapati di laman sesawang TV AlHijrah, laman media sosial TV AlHijrah, portal Alhijrahnews.com serta portal HBIT.my. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts