June 13, 2024

Empat Dekad Tawan Hati Peminat Raikan Konsert #AZ40

PETALING JAYA : Datanglah berapa ramaipun bakat baharu, lelaki ini tetap utuh dan ampuh sebagai kesayangan peminat sehingga ke hari ini.

Anuar Zain memahat kukuh koordinat dirinya dalam industri hiburan dengan cara tersendiri dan sentiasa menyenangkan ramai pihak.

“Saya bersyukur kerana terus disayangi dan menerima sokongan sepanjang kerjaya seni saya sehingga ke hari ini.

“Semua ini rezeki Allah dan berkat doa keluarga serta peminat semua,” tuturnya hemah kala ditemui baru-baru ini.

Lebih manis, pelantun lagu Keabadian Cinta itu meraikan ulang tahun ke-49 tahun ini dengan satu lagi resume hebat iaitu Konsert “Anuar Zain 40th Anniversary Concert” #AZ40.

Konsert anjuran JioBuddy bakal diadakan pada 28 Oktober 2023 jam 8.30 malam di Malawati Indoor Stadium, Shah Alam.

Bercerita lanjut, Anuar berkata dia bakal membawakan lebih 20 lagu yang pastinya rangkaian lagu popular dan kali pertama dipersembahkan.

Adik kepada diva Ziana Zain ini berkata, dia dan pasukannya mahu memberikan kelainan pada konsert kali ini dan enggan mengulangi apa yang pernah disajikan sebelum ini.

“Saya faham akan ada yang berharap saya nyanyikan lagu kegemaran mereka. Pastinya permintaan itu akan ditunaikan.

“Saya akan ada sesi nyanyi secara spontan menerusi lagu yang diminta pada malam konsert itu nanti,” katanya.

Wakil JioBuddy Sean Ng berkata, mereka berbesar hati untuk menganjurkan Anuar Zain 40th Anniversary Concert kerana ia bukanlah hanya sebuah konsert biasa tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seni penyanyi itu.

“Konsert ini juga amat penting untuk kami selaku penganjur bagi menyokong industri muzik tempatan, dan memberi yang terbaik kepada penonton mengikut kepakaran kami,” katanya.

Sementara itu, Anuar turut berharap mereka yang telah bersama-sama beliau di dalam Konsert Anuar Zain 3 Dekad pada 2013 untuk turut hadir bersama pada konsert #AZ40.

Jennifer Thompson merupakan pengarah konsert ini manakala Sze Wan dipertanggungjawabkan sebagai pengarah muzik untuk edisi konsert kali ini.

Tiket-tiket akan mula dijual pada 12 Julai 2023 mulai jam 10 pagi di www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline tiket di +6011 510 03 111. Tiket-tiket berharga RM1188 (VIP 1), RM888 (VIP 2), RM488 (Diamond) RM388 (Platinum) dan RM 188 (Gold). – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect us

Our social contacts