Renjana Kisah Penuh Emosi – Shiha Zikir Abadi Kenangan Bersama Arwah Bapa

Penyanyi Shiha Zikir mengakui dia larut dalam emosi saat mengalunkan single terbaharu nyanyiannya Renjana lantaran mengimbau kisah bersama insan tersayang.

Akuinya, lagu berkenaan sangat bermakna kerana ia berkisar kenangan bersama Allahyarham bapanya, Mohd Zikir Abdul Hamid.

Shiha berkata, apa yang mencabar, dia sering sebak dan sukar mengawal emosi setiap kali menyanyikan lagu ciptaannya itu. “Saya akui tidak mudah untuk menyanyikan lagu Renjana ini kerana ia menceritakan kisah yang dilalui sendiri.

“Ketika proses rakaman lagu ini pun, saya banyak menangis kerana teringatkan arwah abah. Ketika arwah masih hidup dulu, saya memang rapat dengannya. Sejak abah meninggal dunia pada 2008, hidup saya sudah tidak sama kerana rasa rindu itu tidak pernah hilang, malah ia semakin bertambah sehingga hari ini,” katanya.

Ditanya mengenai muzik video (MV) Renjana, Shiha berkata, perjalanan kehidupannya bersama Allahyarham dipersembahkan sepenuh jiwa dalam MV itu.

“Apa yang dipaparkan dalam muzik video itu semua kisah benar termasuk babak saya memancing ikan bersama arwah abah.

“Selain itu, babak saya pergi uji bakat sebuah program realiti, arwah abah ada hulurkan walkman (pemain kaset) untuk saya bawa ke Kuala Lumpur.

“Saya juga sedih bila teringat arwah sanggup berhutang untuk membeli walkman kerana dia mahu saya selesa ketika berlatih menyanyi,” katanya.

Walaupun bapanya tidak sempat melihat kejayaannya, Shiha tetap meneruskan karier nyanyian yang diceburinya itu.

“Abah tidak sempat melihat saya buat persembahan di TV. Malah, dia juga tidak dapat menyaksikan ketika saya memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah MeleTop Era (AME).

“Hingga hari ini, saya hanya bawa semangat abah dan saya juga melakukan semua ini untuknya. Tanpa dia, saya pun tiada dalam bidang nyanyian,” katanya.

Sementara itu, Shiha yang baru saja berjinak-jinak sebagai komposer sangat berharap lagu Renjana dapat diterima dengan baik.

Dalam pada itu, sempena kempen lagu Renjana, Shiha turut mengundang beberapa individu untuk sama-sama berkongsi pengalaman kehilangan insan tersayang dalam beberapa video temubual.

“Saya buat sesi perkongsian dengan kenalan dan pengikut yang sudi berkongsi kisah hidup mereka. Insya-Allah, ia akan dimuat naik di saluran YouTube dan media sosial Shiha Zikir Empire (SZE) tidak lama lagi,” katanya. – GayahIsTyping

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *