Foto: Mohamad Asri (@asripalong)
KUALA LUMPUR: Ahad lepas segala persoalan terjawab merungkai lagu terbaik dan rahsia yang bertebaran mengenai Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).
Sumpah nyanyian Naim Daniel menepati ramalan ramai muncul jaguh utama dek karya pakej lengkap sebuah sonata mencuri hati dan halwa telinga pendengar.

Ketua juri Ajai sendiri mengakui, betapa indahnya lagu ciptaan bersama Naim sendiri dan Omar K itu, sampaikan sesiapa juga yang menyanyikannya akan kedengaran sedap.
“Karya yang mempunyai pakej lengkap. Emosi, penghayatan, susunan muzik, melodi dan lirik seimbang.
“Lagu ini juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dan diterima ramai,” katanya.

Sayangnya, momen gemilang Naim dirompak oleh kontroversi beberapa finalis yang sama ada sengaja dirancang atau kebetulan.
Edisi kali ini memang banyak sudut liputannya. Adat, kontroversi lebih menjadi pilihan diberikan perhatian.
Berani Buat Berani Tanggung
Gayah memerhati apa yang berlaku dan ada kala tersenyum sendiri. Melihat pelbagai pihak menjadi pakar rujuk, peguam bela dan soldadu bertempur mempertahankan penyanyi pilihan.
Sampaikan ada yang lupa, AJL itu adalah sebuah medan menghargai karya dan bukannya artis secara individu.
Lupakan saja kontroversi yang berlaku, kerana itu pilihan yang dibuat dan pastinya sendiri mahu ingat, berani buat berani tanggung.
Pada Gayah, yang lebih utama perlu diingat bahawa AJL adalah pentas prestij yang perlu diberikan perhatian serius terutamanya dari segi persembahan.

Artis dan pasukan wajar lebih kreatif dalam menampilkan persembahan mereka. Persembahan seperti Masdo rasanya tidak sesuai di kala pesaing lain muncul dengan konsep lebih gah.
Membawa rombongan ke pentas bukan perkara baharu, Ratu Pop Etnik Noraniza Idris pemegang takhta itu.
Perlu diingat, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani tidak pernah gagal dan tenggelam dengan bala tentera yang dibawa. Tetapi Masdo, hampir tidak kelihatan. Vokal juga, sakit telinga.
Unsur pentomin juga tidak sesuai, lebih-lebih lagi pernah dibuat dengan lebih baik dari yang dipersembahkan. Walaupun penggemarnya menjunjung persembahan itu.

Dari segi persembahan, Hafiz Suip berhak dan sekali lagi membawa momen seperti lagu Awan Nano.
Hafiz tenang menyampaikan lagu Kisah Cinta Kita dengan elemen paling hidup, emosi dan membuat air mata menggalir sendiri melihat agung cinta yang diterjemahkan.
Ernie Taraf Grammy
Tidak keterlaluan bagi Gayah meletakkan Ernie Zakri sebagai persembahan paling berprestij dan tak malu andai dia membawa nama Malaysia ke pentas Grammy.

Ernie pada kelas tersendiri. Vokal jangan ditanya, Erni pemilik paling berhak untuk anugerah berkenaan.
Namun sayang, kata Tuhan bukan rezeki Ernie. Meski lontaran vokal Ernie memukau pendengaran ramai, tetapi tidak di telinga juri.
Hakikatnya, sampai bilapun keputusan juri nan satu iaitu vokal ini akan terus diperkatakan dalam lipatan sejarah AJL.

Keputusan lainnya, majoriti angguk setuju termasuk pemilihan Aman Ra selaku naib juara. Kepelbagaian yang diraikan.
Seminggu Dah Beritahu
Paling tidak manis, insiden pembesar suara Datuk Siti Nurhaliza yang tidak berbunyi sementelah sanggup hadir membuat kejutan penampilan istimewa menyokong Bob Yusof melantunkan Anta Permana.

Netizen dan peminat menerima kekhilafan teknikal dan ia luar kawalan. Ramai sudah memujuk hati.
Sayang bila timbul dakwaan tidak berasas orang kuat stesen yang mendakwa punca berlaku kerana kesilapan pasukan TokTi dan Bob yang tidak maklumkan mengenai perkara itu kepada krew teknikal.
Tuduhan itu tidak bijak, kerana menurut Hael selaku komposer kejutan itu sudah dimaklumkan sejak seminggu sebelum hari kejadian.
Jadi lebih baik selidik dari semberono tertawa dan menggeluarkan kata.
Akhir sekali, satu yang pasti sejuta tahniah buat krew dan orang kuat AJL34 (Nurul Huda dan Ayong Rahman sebagai wakil pasukan) yang tampil dengan konsep gah dan membanggakan. Termasuk penataan cahaya, konsep pentas dan persembahan. Memang another level.

Pengacara, meski tiada istimewa trio Sherry Alhadad, Haziq Husni dan Awal Ashaari tetap berhak dipuji. Sentiasa menjadi pilihan peribadi Gayah.
AJL34, pahat tetap berbunyi!
You may also like
-
Single Inggeris Pertama Insomniacks ‘Awake & Dreaming’ – Manifestasi Evolusi Muzik & Kematangan
-
GenKRU Perluas Misi – Selepas Tiga Hari Di Malaysia, Sambung Ke Singapura, Mungkin Konsert Finale
-
Awie Ucap Selamat Pengantin Baru Buat Erra Fazira – Titip Pesan Jangan Tunggu Lama
-
Turunkan Rakaman Kandungan Konsert – Rumah Produksi Merah Ambil Serius Isu Curi Rakam Dan Jual
-
Siti Nurhaliza Ucap Terima Kasih Kepada Anggota Bomba Pahang – Yayasan Nurjiwa Hulur Sumbangan Tanda Penghargaan